PETALING JAYA: Mixue Malaysia memohon maaf berikutan penggunaan beg plastik sampah di salah satu cawangannya yang mempunyai label tidak sesuai sehingga mencetus kebimbangan status halal.
Mixue berkata, beg plastik sampah tersebut dibeli melalui platform dalam talian untuk kegunaan cawangan.
Namun katanya, yang menjadi kebimbangan bungkusan plastik berkenaan dilabelkan dengan tulisan yang tidak sesuai dan menimbulkan keraguan.
“Bagaimanapun, beg plastik sambah itu hanya digunakan untuk pelupusan sampah dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan, kami memandang serius isu ini.
“Penggunaan beg sampah telah dihentikan dan syarikat sedang mengkaji semula prosedur pembeliannya untuk memastikan perkara itu tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan perkara itu, syarikat telah mengambil langkah susulan, termasuk meminta proses pembersihan (sertu) di cawangan terbabit bagi memastikan kebersihan dan pematuhan piawaian halal.
“Mixue Malaysia ingin menekankan bahawa semua bahan mentah yang digunakan dalam produk kami adalah daripada sumber halal dan memiliki pensijilan halal yang sah. Kami terus komited untuk memastikan kebersihan, kualiti dan pematuhan halal di semua cawangan kami.
“Kami memohon maaf sekali lagi atas sebarang salah faham dan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan berterusan anda,” katanya. – UTUSAN