PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menganjurkan mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran mini MAHA itu sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama agro antara negara-negara ASEAN.
Selain itu, beliau berharap inisiatif tersebut mampu menarik lebih banyak pelaburan asing, meningkatkan eksport produk agro tempatan serta memperkasa peranan Malaysia sebagai peneraju dalam keterjaminan makanan di rantau ASEAN.
“Mini MAHA (diadakan) di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang) pada tahun ini semasa sidang ASEAN dengan para peserta akan dibawa untuk melawat kawasan MAHA,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM di sini hari ini.
Mengulas berhubung kejayaan penganjuran MAHA 2024, Mohamad berkata, pameran tersebut mencatatkan nilai jualan keseluruhan RM48.55 juta dan pemeteraian 81 memorandum bernilai RM7.2 bilion selain menarik kehadiran seramai 5.51 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Selain itu, katanya, sebanyak 209,352 transaksi tanpa tunai melalui kod QR Agrobank direkodkan dengan jumlah keseluruhan RM4.06 juta, di samping potensi pembiayaan dianggarkan sebanyak RM1.57 bilion dan jualan barangan cenderamata berjumlah RM1.6 juta.
“Kejayaan ini turut memberi manfaat langsung kepada lebih 2,000 usahawan dan pempamer, memperkukuh status Malaysia sebagai hab agro antarabangsa,” katanya. – UTUSAN