PROGRAM Minggu Universiti Sains Malaysia STEM 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini melakar sejarah tersendiri apabila ia berjaya menarik kehadiran sekitar 600 pelajar daripada lebih 30 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang dan beberapa negeri lain.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program tersebut satu daripada inisiatif USM untuk menggerak serta meningkatkan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, selain meningkatkan kecenderungan pelajar dalam bidang STEM, program berkenaan juga diharap dapat membantu melestarikan jalinan kerjasama antara USM, industri dan komuniti.
“Menerusi program ini, USM menyediakan platform kepada pelajar untuk meneroka pengetahuan dan mengembangkan kemahiran inovasi serta kreativiti melalui penggabungan aktiviti STEM secara praktikal dan pameran yang dinamik serta menarik.
“Pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan pensyarah dan pelajar-pelajar sekolah juga telah banyak dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif libat sama komuniti dan industri bertemakan pendidikan STEM,” katanya baru-baru ini.
Hadir menutup program berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, program berkenaan melibatkan penyertaan daripada 15 buah Pusat Pengajian Sains, Teknologi dan Kejuruteraan yang terdiri daripada tiga kampus, iaitu kampus induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) serta enam rakan kerjasama.
“Secara keseluruhan, program ini mencatatkan penglibatan 350 orang pensyarah dan pelajar siswazah dan pasca siswazah.
“Mereka menjalankan pelbagai aktiviti interaktif dan praktikal bertemakan STEM melalui tiga bidang utama, iaitu sains tulen, kejuruteraan dan teknologi serta sains kesihatan dan perubatan,” katanya.
Tambah beliau, kandungan aktiviti yang dijalankan khas mengikut pelbagai peringkat umur pelajar dan ia adalah sebagai intervensi bagi penerapan dan aplikasi ilmu STEM yang merangkumi pelbagai bidang STEM. – UTUSAN