TAWAU: Dua lelaki dikenakan denda RM200,000 dan dihukum penjara selama 12 bulan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memiliki tenggiling hidup iaitu haiwan yang dilindungi sepenuhnya.
Tertuduh, Azlan, 34, yang merupakan warga tempatan dan Artan Asrianto, 24, seorang warga Indonesia masing-masing dikenakan hukuman berkenaan setelah kedua-dua mereka mengaku bersalah dengan pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Kedua-dua tertuduh didakwa memiliki empat ekor tenggiling hidup pada 4 Januari lalu, kira-kira pukul 11.40 pagi di tempat letak kereta berhampiran pusat e-khidmat di kawasan Pasaraya Servey di Jalan Bubul, Semporna.
Haiwan tenggiling adalah dari sepsis pangolin (manis javanica iaitu daripada spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti yang disenaraikan dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Untuk itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen
41(4)(a) Enakmen yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih lima tahun. – UTUSAN