MHO gesa perlindungan terhadap mangsa skim penipuan Ah Long, ceti haram

MHO gesa perlindungan terhadap mangsa skim penipuan Ah Long, ceti haram

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) bersama mangsa ceti haram, Azman (kiri) dan perunding MHO, Datuk Naimshamsul (kanan) menunjukkan laporan polis dan baju yang dirobek pada sidang akhbar berhubung aduan mangsa ceti haram yang ditipu dan diperdaya sehingga hampir di culik di sini hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa tindakan tegas diambil terhadap kegiatan ceti haram atau Ah Long yang semakin berani melakukan keganasan terbuka dan ugutan terhadap mangsa.  

Kes terbaru membabitkan seorang individu yang menjadi mangsa ceti haram dan dilaporkan dia terpaksa bergelut dengan dua individu dipercayai wakil Ah Long dalam insiden mencemaskan.  

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang didakwa telah dipaksa oleh dua individu berbangsa Cina dan bertatu naga untuk masuk ke dalam sebuah kereta. 

Kata beliau, mangsa dibawa ke lokasi yang tidak diketahui sebelum berlakunya pergelutan di Jelatek pada 7 Januari lalu, namun mangsa berjaya meloloskan diri walaupun bajunya koyak akibat dirobek.

“Lebih membimbangkan, mangsa turut menerima ugutan bertubi-tubi melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan keselamatan ahli keluarganya berada dalam bahaya.

“Laporan polis telah dibuat oleh mangsa berhubung kejadian tersebut. MHO percaya tindakan ganas seperti ini berpotensi berulang jika tidak ditangani segera.

“MHO bimbang semakin ramai rakyat Malaysia akan menjadi mangsa akibat keberanian Ah Long yang bertindak di luar undang-undang. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya ketika ditemui semasa sidang media di sini, hari ini.    

Mengulas lanjut, Hisham berkata, tindakan Ah Long tersebut jelas melanggar undang-undang di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menetapkan bahawa hanya pemberi pinjaman berlesen dibenarkan menjalankan aktiviti pinjaman wang.

Jelas beliau, membayar Ah Long adalah satu kesalahan kerana semua pihak ceti haram tidak memegang lesen yang sah untuk memberi pinjaman wang malah mengenakan kadar faedah yang berlebihan.

“Membayar hutang kepada Ah Long yang tidak berlesen adalah salah di sisi undang-undang dan kita perlu mendidik masyarakat supaya tidak terpedaya dengan janji manis mereka.

“Pihak berkuasa khususnya PDRM mesti mengambil tindakan tegas bukan sahaja terhadap sindiket ini tetapi terhadap aktiviti pengiklanan yang menawarkan pinjaman tidak sah. 

“Tindakan awal perlu diambil untuk hentikan sindiketi daripada terus beroperasi dan memusnahkan kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mangsa, Azman, 40, berkata, pada mulanya dia meminjam sebanyak RM50,000 dan telah membayar sehingga RM400,000 kepada sembilan lagi Ah Long berbeza atas desakan pihak ceti haram itu. 

Katanya, namun beliau terus diugut untuk membayar tambahan RM650,000 lagi kerana enggan membayar lagi kadar faedah yang melampau itu.

“Tekanan bermula apabila saya gagal melunaskan pembayaran pada peringkat awal, menyebabkan saya diperkenalkan kepada Ah Long lain untuk menyelesaikan hutang.

“Namun, situasi bertambah buruk apabila kumpulan Ah Long itu terus memeras ugut saya sehingga kini dan menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak mampu menolong saya sekali pun laporan dibuat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya