MHO desak buka kertas siasatan syarikat pengendali umrah

MHO desak buka kertas siasatan syarikat pengendali umrah

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci bagi menuntut keadilan kepada mangsa yang gagal berlepas ke Tanah Suci ekoran masalah tertentu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, beliau telah turun ke pejabat syarikat berkenaan di Sepang pada 14 Januari lalu atas permintaan para pelanggan yang terkesan.

“Semalam, saya berjumpa dengan pengurus syarikat terbabit. Dalam perbincangan tersebut, beliau menyatakan bahawa masalah berpunca daripada tempahan hotel yang tidak dapat disediakan. 

“Namun, apabila saya bertanya sama ada pembayaran kepada hotel tersebut telah dibuat, beliau tidak dapat mengemukakan bukti hitam putih,” katanya selepas sidang media MHO di sini, hari ini.  

Kelmarin, media melaporkan sebuah syarikat pengendali umrah yang didakwa gagal menerbangkan 379 bakal jemaah ke Tanah Suci berdepan penggantungan operasi selama tujuh hari jika gagal memulangkan wang para pelanggan selewat-lewatnya malam Selasa ini.  

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, tindakan itu akan dikuatkuasakan bermula Rabu sekiranya syarikat berkenaan tidak memenuhi tuntutan tersebut.  

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, beliau turut mempersoalkan status pembayaran tiket penerbangan memandangkan lazimnya bayaran perlu dijelaskan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum tarikh berlepas.  

Jelas beliau, maklumat yang diberikan oleh pihak syarikat menyatakan pembayaran telah dibuat tetapi sekali lagi tiada bukti sokongan dikemukakan. 

“Saya juga telah cuba menghubungi pengarah syarikat tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Beliau pada awalnya bersetuju untuk bertemu pada 15 Januari tetapi sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Sekarang, terdapat dua pilihan yang boleh diambil oleh mangsa-mangsa terbabit. Pilihan pertama adalah syarikat menyelesaikan isu ini melalui pembayaran balik. 

“Jika tidak, saya mencadangkan mangsa membuat laporan polis dan memohon pihak berkuasa membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung penipuan,” katanya.  

Tambah beliau, mangsa yang terlibat dilaporkan mengalami tekanan akibat ketidakpastian status kewangan mereka dengan jumlah yang terlibat dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.  

“MHO akan terus memantau situasi ini dan bersedia untuk membantu mangsa mendapatkan keadilan. Kami juga berharap MOTAC dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya