PETALING JAYA: Orang ramai dijangka dapat menyaksikan kemuncak fenomena hujan meteor Quatrantids pada lewat malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu ini.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, sebanyak 80 meter setiap jam secara purata akan menghujani negara dalam tempoh itu.
Menurutnya, fenomena tersebut mula aktif dan boleh dilihat pada 26 Disember 2024 hingga 16 Januari ini.
“Kenampakan hujan meteor tersebut adalah bagus kerana tiada gangguan daripada bulan sabit baru yang terbenam pada pukul 10.26 malam sebelum waktu kemuncak berlaku.
“Hujan meteor Quadrantids berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit asteroid yang dinamakan 2003 EH1,” katanya di dalam satu hantaran di laman sesawangnya.
Mengulas lanjut, MYSA berkata, sebahagian daripada asteroid tersebut terurai menjadi serpihan debu dan habuk akibat kesan rekahan terma yang kuat lalu terserak ke dalam laluan orbitnya.
“Asteroid dengan kelebaran tiga kilometer ini mengambil masa kira-kira 5.5 tahun untuk mengorbit mengelilingi matahari.
“Perkataan Quadrantids ini merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Quadrans Muralis, sebuah buruj yang sudah tidak lagi digunakan,” jelasnya.
Tambahnya, kawasan tersebut kini dikenali sebagai buruj Bootes dan hujan meteor itu turut dinamakan sebagai Bootids.
“Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
“Kebanyakan kemuncak hujan meteor berlaku selama kira-kira dua hari tetapi kemuncak hujan meteor Quadrantids ini hanya berlaku dalam masa beberapa jam sahaja kerana bumi melintasi aliran zarah yang nipis tersebut secara bersudut serenjang,” katanya. – UTUSAN