PUTRAJAYA: Meta Platform Inc (Meta) yang merupakan pengendali Facebook, Instagram serta WhatsApp dijangka menerima lesen untuk beroperasi di Malaysia tidak lama lagi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan perkembangan setakat semalam, Meta telah menghantar beberapa dokumen susulan untuk membuat pengesahan berhubung perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Saya jangka proses tersebut (akan) berjalan dengan tertib dan lancar. Jadi setakat ini, tiga telah menerima lesen iaitu WeChat, TikTok dan Telegram.
“Lagi dua, Google yang mengusahakan Youtube dan X masih dalam perbincangan dengan pihak MCMC,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai kenyataan platform X yang sebelum ini menyatakan mereka enggan memohon lesen disebabkan jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu lapan juta pengguna, Fahmi berkata, pengesahan mengenai perkara tersebut perlu mengambil sedikit masa.
Seterusnya, mengenai YouTube, Fahmi menjelaskan, aplikasi berkenaan dikategorikan sebagai media sosial kerana kewujudan sub-aplikasi YouTube Shorts yang mirip seperti TikTok, termasuk mempunyai elemen perkongsian dan ruangan komen.
“Tapi sudah pasti ada yang melibatkan aspek perancangan bagi platform-platform tersebut termasuk Google ataupun YouTube khususnya, jadi kita berikan sedikit masa (lagi),” katanya. – UTUSAN