Meski terjejas, kami akur arahan DBKL - Asfan Shah - Utusan Malaysia

Meski terjejas, kami akur arahan DBKL – Asfan Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Asfan Shah, 40, mengakui tidak patah semangat meskipun berdepan situasi janggal apabila dia bersama 20 barisan artis termasuk pempengaruh  terpaksa mengikut arahan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menutup perniagaan mereka pada hari terakhir di tapak Havoc Food Festival (HFF), semalam.

Menurut Asfan, selain 20 artis terlibat, arahan penutupan operasi perniagaan itu juga menjejaskan 140 peniaga lain yang menyertai HFF.

Akui Asfan, kejadian seperti itu adalah yang pertama kali berlaku menimpanya dan peniaga lain yang mengikut rekod, telah diadakan di 44 buah lokasi sebelum ini.

“Saya akui menerusi arahan penutupan itu telah menyebabkan kerugian yang banyak di pihak kami sebagai peniaga. Selama ini kami semua tidak mempunyai masalah dan saya juga lihat organisasi penganjur sangat teliti dalam mengikut segala prosedur yang diperlukan sebelum mengadakan festival ini.

“Namun, kami pun tidak sangka akan ada kekecohan seperti ini sehingga penganjuran HVV kali ini menjadi tular. Sebagai selebriti usahawan, tentunya saya rasa ralat dengan penutupan ini kerana kita telah keluarkan kos sangat besar dari segi logistik dan bahan mentah untuk menjalankan perniagaan.

“Kerugian boleh mencapai puluhan ribu, saya pasti rakan artis lain dan peniaga lain turut terjejas sama. Tak dinafikan, bila jadi begini, saya pun buntu bagaimana hendak cari solusi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Asfan, pihaknya tetap akur dengan arahan yang diberikan pihak penguatkuasa selain enggan menambah kekeruhan yang ada.

“Baik saya mahupun rakan-rakan artis lain, kami cuba lihat dari sudut yang positif. Alhamdulillah, kami memang begitu daripada dulu sampai sekarang. Tak ada siapa yang mahu protes atau melanggar arahan.

“Saya sendiri tak putus asa walaupun kali ini diduga dengan perkara ini. Kita tetap teruskan perniagaan di acara lain dan Insya-Allah, lagi dua minggu kami akan ke Singapura.

“Kami akan teruskan berniaga kerana ini juga adalah keperluan dan periuk nasi kami,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara Havoc, Datuk Firdaus Nadxaman berkata, pihaknya akur dengan arahan yang diberikan oleh DBKL untuk menutup operasi karnival meskipun penganjuran sepatutnya berlangsung selama empat hari di ruangan parkir Sama Square, Setapak itu.

Menurut Firdaus, pihaknya telah mengikuti prosedur dengan sebaiknya sebelum menganjurkan festival berkenaan di tapak tersebut termasuk menyediakan kertas kerja dengan teliti.

“Kita pun tidak sangka gelombang sambutan pengunjung pada kali ini begitu luar biasa sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan ini. Namun, demi manfaat semua pihak, kami akur dengan arahan yang diberikan meskipun terjejas.

“Kami di sini tidak mahu menuding jari pada mana-mana pihak dan sebolehnya mahu mencuba mencari jalan penyelesaian terbaik. Mungkin kali ini ada kekhilafan daripada pihak saya yang terlepas pandang isu trafik.

“Saya juga mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan. Nantikan pengumuman kami di media sosial untuk acara seterusnya di lokasi berlainan,”katanya.

Terdahulu, tular di media sosial aduan oleh penduduk di Setapak yang mendakwa Havoc Food Festival, yang berlangsung bermula 9 hingga 12 Januari dikatakan menjadi punca kepada kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Susulan itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengeluarkan satu kenyataan dan memaklumkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan penghentian operasi perniagaan di tapak berkenaan berikutan penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Tindakan itu dilakukan selepas DBKL mendapat aduan kesesakan lalu lintas yang mengganggu penduduk setempat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya