Menyamar jadi pelancong elak ditangkap

Menyamar jadi pelancong elak ditangkap

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, pada Rabu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menyamar sebagai pelancong antara taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa. 

Namun, helah itu gagal apabila individu terbabit berjaya ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, pada Rabu.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu pada mulanya cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lokasi tersebut.

Dia kemudian mendakwa kononnya baru tiba di negara ini untuk membeli cenderahati sebagai persiapan pulang ke negaranya.

Namun, pemeriksaan lanjut membongkar helah lelaki itu apabila didapati dia sebenarnya bekerja di salah satu gerai di kawasan berkenaan dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Tinjauan Utusan Malaysia ketika mengikuti serbuan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mendapati beberapa PATI lain yang turut cuba bersembunyi berjaya dikesan dan ditahan oleh pasukan operasi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi yang bermula pada pukul 7.30 malam itu dijalankan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam operasi tersebut, seramai 176 PATI berjaya ditahan terdiri daripada 156 lelaki dan 20 wanita. 

“Tangkapan melibatkan 71 warga Bangladesh, Myanmar (60), Indonesia (24), Nepal (16) serta masing-masing seorang dari Mesir dan Sudan, manakala tiga lagi merupakan warga Pakistan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati PATI terbabit melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki permit sah untuk tinggal di negara ini serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b)Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jelas Wan Mohammed Saupee, operasi itu dijalankan susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran warga asing di kawasan tumpuan pelancong tersebut.

“Kawasan Jalan Alor  menjadi lokasi pilihan pelancong luar dan tempatan, namun lambakan warga asing tanpa dokumen sah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung.

“Kami akan terus melaksanakan operasi berterusan bagi memastikan warga asing dan majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya