IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi ‘lampu hijau kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk meneruskan kajian berhubung cadangan meluaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah mendapatkan maklum balas daripada pihak MBI yang menjelaskan bahawa pihaknya sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan itu.
“Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/ peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi berkata, MBI sedang melaksanakan kajian terhadap cadangan termasuk daripada penduduk setempat supaya larangan penjualan minuman keras yang kini dilaksanakan di Gugusan Manjoi diperluaskan di kawasan majoriti penduduk Islam yang lain.
Saarani berkata, kajian dilaksanakan MBI akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.
“MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada,’’ katanya.
Saarani menegaskan pada peringkat ini, perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul, sebaliknya semua pihak sewajarnya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan. – UTUSAN