KUALA LUMPUR: Tuah memenangi dua pengiktirafan peringkat Asia, pelakon, Azira Shafinaz mula menerima tawaran filem daripada tiga produksi luar negara.
Azira atau Azira Shafinaz Ramlan, 33, bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai tawaran tersebut kerana masih dalam peringkat perbincangan.
“Semasa menghadiri Festival Filem Asia Pasifik ke-61, ramai penerbit dan pengarah sudah menonton naskhah lakonan saya dalam Indera yang ditayangkan sebagai filem pembuka acara tersebut.
“Selepas itu ada beberapa penerbit yang menyatakan hasrat mahu bekerjasama dengan saya untuk projek filem. Ada yang hubungi saya tahun lalu, namun ada juga yang hubungi saya bulan ini.
“Oleh sebab semuanya masih dalam peringkat perbincangan, saya tidak boleh mengulas panjang. Tapi sebagai pelakon, saya puas menerima pengiktirafan dan tawaran begini,” katanya.
Azira pernah menyandang trofi pelakon Wanita Komedi Terbaik Anugerah Kreatif Akademi Asia (2023) dan pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-61 pada 2024.
Walaupun belum mempunyai rezeki diiktiraf di negara sendiri, penyanyi yang juga ahli kumpulan De Fam itu tidak terkilan malah bertekad menunjukkan potensi diri dalam naskhah yang dilakonkan.
“Saya dalam industri ini masih kecil, baru beberapa tahun sahaja. Masih banyak lagi laluan yang perlu saya tempuh dan pelajari. Bukan terkilan, cuma tidak sangka kemenangan pertama saya adalah dari luar negara.
“Hasrat saya, selepas ini, semoga saya boleh kembangkan bakat di luar negara seperti di Indonesia. Mungkin di Malaysia orang tengok populariti berbanding bakat.
“Sudah masanya di Malaysia ini kita beri peluang kepada orang-orang yang ada potensi,” jelasnya.