KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak menafikan wujudnya kartel melibatkan kontraktor dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan kontraktor bagi institusi itu adalah melalui tata kelola dan tata cara kewangan yang ketat tanpa penglibatannya.
Katanya, keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan berdekatan lokasi sesebuah maktab agar tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku permasalahan.
Bagaimanapun, tambahnya, terdapat penipuan yang dilakukan sehingga menyebabkan kewujudan kontraktor tidak bertanggungjawab.
“Bila saya masuk sebagai pengerusi, orang kata ada kartel dan sebagainya. Sebab itu penting bila saya turun ke bawah ini, kita nampaklah memang betul ada kartel.
“Contohnya waktu mereka (kontraktor) mohon, kita tidak tahu sebab alamatnya berdekatan tetapi bila periksa semula, rupanya jauh.
“Sebagai pengerusi yang meluluskan setiap peruntukan, saya nak pastikan setiap sen duit rakyat ini benar-benar dimanfaatkan dengan cara yang paling baik,” katanya ketika sidang media Pengumuman Keputusan Tawaran Kemasukan ke MRSM Sesi 2025.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Mara juga akan mengambil tindakan kepada kontraktor yang mengancam kesihatan dan keselamatan para pelajar.
Katanya, kontraktor yang ditangkap hasil terjahan lalu bukan sahaja ditamatkan kontrak malah juga diminta membayar saman dan pampasan.
“Saya akan terus memantau dengan cara saya. Sebab itu terjahan dan turun padang ini akan tetap dilakukan kerana ia adalah amanah saya.
“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan seperti mana yang kita lakukan kepada kontraktor hasil terjahan lalu. Kita bukan sekadar ambil tindakan mahkamah, malah kita tamatkan kontrak, ambil tindakan saman dan minta pampasan.
“Ini memberikan mesej bahawa soal keselamatan dan kesihatan para pelajar ini adalah sesuatu yang mesti diutamakan. Kita serius, yang mana hendak merayu kepada saya itu, minta maaflah,” katanya. – UTUSAN