IPOH: Seorang mekanik yang memukul anjing peliharaannya menggunakan batang besi ditahan polis selepas rakaman video perbuatannya itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sekitar pukul 3 petang tadi bagi membantu siasatan.
“Perbuatan suspek dikesan melalui video tular yang memaparkan kejadian menganiaya seekor anjing di Persiaran Tasek Timur, Taman Ria, Bercham.
“Siasatan mendapati, kejadian itu berlaku Sabtu lalu pada pukul 8 malam. Pelaku dalam kejadian itu adalah pemilik anjing tersebut dan memiliki lesen peliharaan yang sah.
“Berdasarkan keterangan yang diberikan, suspek bertindak memukul anjing berkenaan kerana haiwan tersebut telah menggigitnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, saksi yang tinggal berhampiran rumah suspek memberitahu, pada malam kejadian telah mendengar bunyi bising di luar rumah dan mendapati lelaki terbabit sedang memukul seekor anjing.
Katanya, saksi yang merakam kejadian itu telah memberi video itu ke Page Malaysian Dogs Deserve Better untuk dimuat naik di laman sosial bagi memberi pengajaran kepada orang ramai.
“Video berdurasi 43 saat itu jelas menunjukkan suspek memukul anjing tersebut menggunakan besi,” katanya.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan 17 kesalahan berkaitan kes narkotik.
Katanya, haiwan berkenaan telah diselamatkan pihak Veterinar Perak bagi tujuan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Binatang 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – UTUSAN