JOHOR BAHRU: MCA Johor memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam di negara ini atas satu perkongsian dibuat yang seolah-olah menghina kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan besar untuk perihal berkaitan Islam.
MCA Johor dalam satu kenyataan memberitahu, perkongsian yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya pihaknya kelmarin dibuat tanpa makluman kepimpinan negeri.
Menurut kenyataan tersebut, kenyataan itu dimuat naik seorang pentadbir (admin) akaun berkenaan.
“MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas perkongsian status pihak lain di Facebook MCA Johor pada 26 Januari 2025 yang dilakukan tanpa sengaja oleh salah seorang pentadbir (admin) Facebook.
“Perkongsian itu dibuat tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama MCA Johor,” jelas kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi MCA Johor, hari ini.
Tambah kenyataan itu, pentadbir yang telah lama bersara dari pejabat MCA Johor itu juga mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.
“Akses pentadbir itu kepada akaun Facebook MCA Johor telah dihentikan dan kini ia dikendalikan oleh pentadbir baharu. Status kenyataan yang menimbulkan kontroversi itu telah diturunkan serta-merta setelah aduan diterima semalam.
“MCA Johor tidak pernah terlintas dan tiada niat mengguris hati, jauh sekali menghina atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku dan akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.
Terdahulu, tular di media sosial gambar tangkap layar menunjukkan akaun MCA Johor berkongsi status yang mempersoalkan tindakan kerajaan memberikan peruntukan besar kepada agensi dan isu-isu berkaitan agama Islam.
Antara pihak yang disentuh termasuklah peruntukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), cetakan Al-Quran serta bantuan kepada rakyat Palestin. – UTUSAN