SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencipta sejarah menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh Sijil Pematuhan Syariah Ke Atas Organisasi melalui saringan Penyata Kewangan untuk tahun 2023.
Menurut Jabatan Komunikasi Korporat MBSA, saringan tersebut dilaksanakan oleh Salihin Shariah Advisory Sdn.Bhd. yang merupakan penasihat syariah yang berkelayakan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Skop pemeriksaan pensijilan syariah ini meliputi saringan seperti perkhidmatan, nisbah kewangan, aspek etika dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Pengiktirafan ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pemegang taruh MBSA berkaitan sumber pendapatan dan perbelanjaan yang telah dilaksanakan sepanjang 2023,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pengiktirafan tersebut merupakan kejayaan membanggakan malah ia menjadi bukti usaha organisasi pihaknya dalam melaksanakan prinsip syariah dalam semua aspek.
Tambahnya lagi, selaras dengan pencapaian dan kejayaan tersebut, MBSA akan terus mengekalkan hala tuju sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam tadbir urus, sosial dan persekitaran selaras dengan konsep Maqasid Syariah.
“Pengiktirafan ini merupakan kejayaan yang membanggakan dan menunjukkan usaha berterusan MBSA bagi memastikan pelaksanaan prinsip syariah dalam pelbagai aspek seperti kewangan, pengurusan sumber, pentadbiran dan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.-UTUSAN