GEORGE TOWN : Sebanyak 11 struktur binaan tanpa kebenaran yang dikendalikan warga asing di kawasan Barat Daya dirobohkan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), semalam.
Jurucakap MBPP berkata, operasi yang bermula pukul 9.30 pagi itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Operasi ini dijalankan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, dengan fokus kepada perobohan struktur haram yang didirikan di atas siar kaki dan kawasan awam.
“Struktur-struktur ini dikatakan bukan sahaja menghalang laluan pejalan kaki, malah, mengganggu lalu lintas serta mencemarkan imej kawasan,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, struktur perniagaan di kawasan siar kaki itu disewakan penduduk tempatan kepada warga asing yang menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman.
Harga sewa yang dikenakan bagi satu struktur binaan pula dikatakan mencecah lebih RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.
Menurut beliau, tindakan perobohan itu termasuk memotong besi dan bumbung menggunakan alat khas serta bantuan sebuah jentera pengkaut untuk melupuskan struktur binaan.
“Kerja-kerja pembersihan tapak serpihan bahan binaan dilaksanakan segera oleh para pegawai Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan keselamatan orang awam,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, TNB turut memotong bekalan elektrik manakala PBAPP dan PDRM pula masing-masing melakukan pemeriksaan dan pemotongan saluran air di lokasi operasi serta kawalan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang operasi dijalankan.
Tambahnya, tindakan perobohan itu merupakan tindakan tegas MBPP terhadap isu perniagaan yang dijalankan oleh warga asing dan tidak berlesen serta struktur binaan tanpa kebenaran atas siar kaki awam yang mengakibatkan halangan kepada laluan pejalan kaki dan lalu lintas.-UTUSAN