PETALING JAYA: Mayat seorang wanita dengan beberapa kesan tikaman ditemukan di tepi jalan kawasan hutan berhampiran Bandar Country Homes, Rawang dekat sini pada 2 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mangsa disahkan seorang warga asing dianggarkan berusia antara 25 hingga 40 tahun dan dipercayai sudah meninggal dunia antara dua hingga empat hari sebelum mayatnya ditemukan.
“Pakaian terakhir mangsa ketika ditemui adalah berbaju t-shirt berkolar warna hitam tertera perkataan ‘Johny Walker’ dan berseluar pendek berwarna hitam.
“Hasil pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada leher, dada dan belakang badan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Ariffin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Beliau menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Ikhwanizam Ismail di talian 019-6000468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.- UTUSAN