JOHOR BAHRU: Mayat seorang wanita warganegara asing berlumuran darah ditemukan dalam tandas di sebuah kompleks beli-belah di bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mayat wanita itu ditemukan orang awam pada pukul 2.28 petang dan hasil siasatan polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Identiti mangsa juga masih dalam siasatan dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122.
“Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan terperinci,” katanya. – UTUSAN