GEORGE TOWN : Keluarga dua pelancong China yang maut akibat kejadian pokok tumbang di sebuah muzium di Lebuh Gereja tahun lepas hari ini tampil memfailkan notis tuntutan saman berjumlah RM1.7 juta terhadap lima pihak berasingan.
Lima pihak itu ialah pengendali muzium, pemilik muzium, pemilik pokok, agensi pelancongan tempatan serta pemandu pelancong.
Pengendali atau operator muzium, Pinang Peranakan Mansion Sdn. Bhd. selaku operator muzium, dinamakan sebagai pihak pertama dalam notis tuntutan itu, diikuti oleh SSM Capital selaku pemilik tanah muzium dan pemilik tanah di mana pokok membesar iaitu Sri Kumaran’s Textile Sdn. Bhd. sebagai pihak ketiga.
Selain itu, dalam notis yang sama, pihak keempat yang dinamakan ialah agensi pelancongan, Pony Holiday Sdn. Bhd. manakala pemandu pelancong, Har Kwai Leng dinamakan selaku pihak yang kelima dalam notis tuntutan berkenaan.
Peguam, Ng Kian Nam berkata, keluarga pelancong dari China itu juga telah memberi kuasa kepada pihaknya untuk mengeluarkan surat memohon penjelasan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengapa mereka hanya mengeluarkan notis kacau ganggu di bawah undang-undang tempatan kepada pemilik pokok selepas insiden berlaku dan bukan sebelum itu.
“Selain itu, pihak keluarga juga mahukan penjelasan sama ada pengendali atau pengurus muzium tersebut pernah mengemukakan sebarang aduan rasmi kepada mereka tentang risiko tinggi pokok tersebut kepada pelancong atau awam.
“Oleh itu, mereka ingin menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1.7 juta terhadap pihak-pihak tersebut yang merangkumi kerugian am dan khas,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 18 September tahun lalu, dua pelancong warga China maut akibat tersepit di dalam sebuah kenderaan yang dihempap sebatang pokok yang tumbang bersama runtuhan konkrit dalam kejadian di Lebuh Gereja, di sini.
Menurut Kian Nam, tindakan utama keluarga pelancong dari China itu adalah berdasarkan Akta Undang-Undang Sivil, pelanggaran tanggungjawab, penjagaan adat, statutori.
“Ia berdasarkan asas di mana nyawa dua ahli keluarga mereka yang tersayang tidak akan hilang sekiranya pihak-pihak tersebut mengambil langkah asas dan munasabah untuk menyelenggara keselamatan pokok dan kawasan tempat letak kereta di muzium tersebut,” katanya yang memberitahu, kedua-dua mangsa adalah seorang bapa dan anak perempuan masing-masing berusia 69 dan 36 tahun.
Ujar Kian Nam, mangsa meninggalkan ahli keluarga iaitu ibu, suami dan anak kecil yang hanya berusia 11 tahun yang kini mengalami trauma serius, kesedihan emosi yang mendalam serta kesulitan dari segi mata pencarian.
“Sebelum tragedi itu, mangsa lelaki adalah seorang pesara yang menerima pencen sebanyak RM2,000 sebulan manakala mangsa wanita pula bekerja dengan gaji bulanan sebanyak RM7,700 dan mereka juga antara pencari nafkah utama dalam keluarga mereka,” katanya.
Kian Nam berkata, pihaknya mengambil kes itu secara pro bono atas kepentingan awam bagi meningkatkan kesedaran untuk mengekalkan keselamatan kawasan awam di Malaysia dan memelihara reputasi pelancongan Pulau Pinang.
“Keluarga mereka juga kesal kerana pihak berkuasa awam termasuk polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Pelancongan yang tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang disebutkan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Kerajaan Tempatan atau mana-mana statut berkaitan hingga kini,” katanya.
Tambah beliau, pihak berkuasa juga tidak menjalankan siasatan formal atau memanggil ahli keluarga mangsa untuk membuat kesimpulan sama ada ia adalah kuasa Tuhan atau kecuaian manusia. – UTUSAN