DUNGUN: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihatkan orang ramai supaya memastikan kerang yang dikutip di Pantai Sura, di sini, dimasak dengan sempurna sebelum dimakan.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, sampel air dan kerang di itu telah diambil pada Rabu, untuk memastikan keselamatan pengguna.
“Hasil analisis awal menunjukkan tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dikesan dalam sampel air.
“Analisis bakteria pada kerang sedang dijalankan oleh Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan, Pahang dan keputusan penuh akan diumumkan dalam masa tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ruzaidi berkata, bagaimanapun berdasarkan kajian beberapa tahun sebelum ini iaitu pada 2014, 2016, 2019, dan 2021, mendapati tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan.
“Kerang dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai Kelas B, yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan.
“Kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus, yang bersifat meluas (ubiquitous) dalam persekitaran air laut, turut dikesan dalam sampel terdahulu,” katanya. – UTUSAN