LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan penahanan 196 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar dipercayai etnik Rohingya memasuki Pantai Awam Teluk Yu, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, susulan insiden pada pukul 3.25 pagi itu, pihaknya telah mengaktifkan Operasi GUARD bagi mengesan saki-baki PATI yang dilaporkan menuju ke Pulau Langkawi.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya, terdapat dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI Myanmar itu berada di laut namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenal pasti.
“Kita telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, meronda di sekitar perairan utara Langkawi serta sempadan negara dan menggerakkan pesawat udara bagi melaksanakan pemantauan.
“Malah, pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan PATI itu turut ditingkatkan dan sehingga kini tiada sebarang petunjuk tentang penemuan dua bot berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, penduduk di sekitar Teluk Yu, di sini digemparkan dengan pendaratan etnik Rohingya apabila barangan yang dipercayai dibawa dilihat bertaburan di sekitar bot yang membawa mereka.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 74, berkata, dia mengetahui tentang pendaratan tersebut pagi tadi apabila melalui kawasan itu.
Sementara itu, Mohd. Rosli berkata, Maritim Malaysia turut berhubung dengan pihak penguat kuasa Thailand untuk mengenal pasti sama ada pergerakan dua bot yang membawa PATI berkenaan dikesan oleh pihak negara itu
Tambahnya, komuniti maritim sekitar Langkawi diminta untuk menyalurkan maklumat segera ke talian 999 atau hubungi Maritim Rescue Sub Centre (MSRC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868 jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.
Untuk rekod, penahanan PATI Myanmar oleh Maritim Malaysia dan agensi penguat kuasa lain dari tahun 2010 hingga 2024 melibatkan seramai 2,089 orang melalui 18 buah bot yang cuba masuk ke negara ini. – UTUSAN