PUTRAJAYA: Setelah kali terakhir berlaku pada 8 Disember 2022 lalu, Marikh sekali lagi berada dalam kedudukan bertentangan dari matahari dan segaris bumi awal Khamis ini.
Sumber falak tempatan berkata, fenomena setiap 26 bulan itu yang turut dikenali sebagai istiqbal bakal menyaksikan planet tersebut terang disinari penuh oleh cahaya matahari.
“Sewaktu kejadian ini, imej Marikh itu dapat dilihat kita dari bumi sebagai cukup cerah jika dibandingkan semasa ia berada di kedudukan yang lain,” jelas beliau ketika dihubungi.
Awal bulan ini, Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran infografik menerusi laman sosial rasminya memaklumkan mengenai peristiwa unik itu sebagai rujukan awam.
Istiqbal tersebut dijangka berlaku pada pukul 9.17 pagi waktu Malaysia malah planet itu dapat dicerap kelihatan di ruang langit malam sepanjang bulan ini sehingga Julai depan.
Mengulas lanjut lagi, sumber memberitahu bahawa ketika fenomena nadir itu, jarak Marikh dari bumi dianggarkan 96,229,000 kilometer dengan kadar kecerahan -1.38 magnitud.
“Untuk tahun 2025, planet itu sebenarnya berada jauh dari matahari atau lazim disebut aphelion dan kelihatan sedikit kecil berbanding istiqbal yang terjadi sebelum ini,” katanya.
Bahkan ujar beliau, jarak bagi istiqbal kali ini dianggap adalah jauh manakala fenomena sama selepas ini pada 2027 nanti lebih lagi jauh sebelum kembali dekat pula pada 2029. – UTUSAN