PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu mewajibkan pelajar-pelajar di GiatMara untuk melalui ujian khas bacaan al-Fatihah dan fardu ain.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di GiatMara perlu melalui ujian khas tersebut.
Kata beliau, sekiranya pelajar-pelajar berkenaan gagal maka Mara akan membuat program khas intervensi pengukuhan fardu ain.
“Agenda TVET Negara mesti diintegrasikan dengan elemen pembinaan jatidiri dan kerohanian. Kita tidak mahu sekadar melahirkan pekerja mahir tetapi pekerja yang punya jatidiri, akal budi dan sahsiah terpuji.
“Elemen keagamaan yang menjadi teras utama pembentukan jatidiri ini juga mesti diperkasakan,” katanya menerusi satu hantarannya hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Mara wajib mengambil tanggungjawab sebagai perintis dan peneraju program TVET berimpak tinggi dan pada masa sama menekankan aspek pembinaan insaniah yang holistik dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi
“Ini kerana MARA adalah institusi terbesar dalam penyedian program TVET dengan jumlah institusi sebanyak 270 IPMA yang menawarkan pelbagai kursus TVET termasuk 232 GiatMARA seluruh Malaysia.
“Mungkin ada pihak memandang remeh tapi daripada pengalaman pegawai-pegawai GiatMara ada pelajar yang tunggang langgang bacaan al-Fatihah mereka.
“Jika al-Fatihah pun bermasalah, macam mana ibadah asas solat nak disempurnakan. Ini belum lagi aspek-aspek fardu ain dan bacan al-Quran yang lain.,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial menyatakan sokongan terhadap usaha Asyraf Wajdi itu.
“Semalam anak saya yang kursus jahitan di GiatMara Cheras ada ujian fardu ain ini. Bukan al-Fatihah dan hafazan sahaja, hukum-hukum dalam solat, soalan-soalan lain pun ditanya. Bagus pendekatan macam ini. Walau belajar kemahiran, agama tidak diketepikan,” komen Nonnie Mn.
“Alhamdulillah…generasi celik al-Quran dan agama pakej kemahiran dan jati diri,” komen Haziana Ziana. – UTUSAN