KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM190 juta setiap tahun selepas menghentikan inisiatif pengecualian bayaran tol semasa musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan menghentikan inisiatif tersebut akan membuka jalan kepada pendekatan yang lebih bersasar untuk menyalurkan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.
“Kita sedang memperhalusi dasar untuk memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, khususnya kumpulan B40,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Alexander Nanta hadir melancarkan SOS Balance oleh Touch n’ Go yang membolehkan pengguna TnG e-Wallet melalui tol walaupun baki tidak mencukupi, menawarkan mereka tempoh 24 jam untuk mengisi semula e-Dompet.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan mungkin tidak lagi akan memberikan kemudahan tol percuma bagi musim perayaan dan menyatakan 2024 adalah tahun terakhir pemberian tersebut.
Alexander Nanta pada Selasa berkata, ketetapan itu dibuat menerusi Kabinet pada tahun lalu.
Menurutnya, ini kerana pemberian tersebut tidak bertepatan dengan dasar pemberian subsidi kepada golongan bersasar seperti yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh kerajaan, namun tidak menolak sekiranya terdapat perbincangan lain.
Mesyuarat Jemaah Menteri turut dilapor akan membincangkan langkah sesuai bagi mengatasi isu kesesakan pada musim perayaan serta mekanisme lain menggantikan pemberian tol percuma, esok.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini kerajaan sedang meneliti langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah dihadapi oleh rakyat sama ada dari segi kos sara hidup mahupun kesesakan lalu lintas.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kedua-dua perkara itu penting dan akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri nanti.
Mengulas lanjut, Alexander Nanta berkata, inisiatif yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 pada 2022 tidak lagi relevan.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk membangunkan langkah subsidi yang lebih tepat bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah.
“Kita akan melaraskan dasar dari semasa ke semasa agar sejajar dengan keperluan semasa. Tumpuan kini kepada bantuan yang disasarkan dan bukannya subsidi menyeluruh,” jelasnya.
Tambahnya, subsidi tidak seharusnya memberi manfaat kepada semua secara sembarangan, termasuk individu berpendapatan tinggi yang tidak memerlukan bantuan tersebut. – UTUSAN