‘Mangsa dipukul, diugut, tidak dibayar gaji’

Pekerja asing dipukul, diugut, tidak dibayar gaji

pekerja asing
SERAMAI 29 individu berusia 26 hingga 48 tahun turut ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Pintas oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Jabatan Imigresen Selangor serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah kilang pembuatan perabot dan premis kitar semula di sini digempur pihak berkuasa selepas disyaki mengeksploitasi tenaga kerja asing sebagai buruh paksa tanpa membayar gaji.

Serbuan itu dilakukan menerusi Op Pintas oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Jabatan Imigresen Selangor serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Seramai tiga warga Bangladesh berusia 28 hingga 35 tahun diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja di premis berkenaan antara satu dan lima tahun.

“Mangsa mendakwa telah dipukul, diugut, tidak dibayar gaji dan ditempatkan di penginapan yang serba daif dan tidak kondusif. Dalam serbuan itu, seramai 29 individu berusia 26 hingga 48 tahun turut ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan India yang bertindak sebagai pengurus premis turut ditahan. Selain itu, tangkapan lain membabitkan pekerja terdiri daripada warga Bangladesh, India, Pakistan dan Myanmar,” katanya kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Atipsom 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, premis berkenaan turut dikenakan tindakan oleh MBPJ kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN