KUALA LUMPUR: Jaguh cilik pushbike, Maleeq Dragster, 5, mencipta sejarah apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike kanak-kanak di luar negara dalam tempoh setahun.
Maleeq atau Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzri berjaya mencipta rekod dengan 14 kejuaraan termasuk juara dunia kategori lima tahun di Kejohanan Pushbike Dunia (RCS Championship) di Tokyo, Jepun.
Bapanya, Datuk Seri Wan Muhd. Muzri berkata, kejayaan Maleeq mendapat pengiktirafan tertinggi itu membuktikan potensi sukan pushbike dalam melahirkan generasi muda yang berani dan bersemangat juang.
“Sebagai ibu bapa, kami berbangga Maleeq. Malah, dia juga memberi semangat kepada adik-beradiknya dan rakan-rakan seperjuangan lebih berdaya saing. Semoga ini menjadi pemangkin atau pembakar semangat seorang ahli sukan negara yang berjaya pada masa akan datang.
“Maleeq berjaya mencipta rekod baru untuk Malaysia khususnya dalam sukan pushbike. Malah mengangkat martabat dan nama sukan pushbike tempatan ke tahap yang lebih tinggi agar sebaris dengan sukan-sukan lain yang disertai oleh kanak-kanak di dunia.
“Semoga Maleeq mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam sukan pushbike, menjadi seorang pelumba yang berwibawa dalam mengharumkan dan menjaga nama baik Malaysia di mata dunia.,” katanya.
Selain mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut di Jepun, Maleeq juga berjaya memecah rekod kejuaraan di beberapa negara antaranya Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong dan Singapura.
Pelumba cilik itu juga berjaya merangkul kejuaraan dalam negara antaranya M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 Langkawi, M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 Petronas dan M8 Magnificient Race 2024.
Malah, Maleeq juga berjaya menewaskan pelumba cilik dari beberapa negara dalam Rockfish Cup International Championship 2024 yang diadakan baru-baru ini.
Dalam pada itu, kongsi ibunya, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain, biarpun masih cilik, namun Maleeq tidak pernah putus semangat walaupun pernah tercedera sewaktu giat berlatih sebelum perlumbaan.
“Dia memang kanak-kanak yang kuat semangat. Begitu juga dengan kakak dan abangnya. Masing-masing sentiasa menunjukkan prestasi terbaik walaupun ada yang pernah tercedera sewaktu perlumbaan.
“Mereka hanya bermula dengan bermain pushbike di rumah. Tetapi melihatkan keseriusan mereka dalam sukan tersebut, kami mendapatkan jurulatih dan membina pusat latihan sendiri bagi kemudahan mereka.
“Latihan juga hanya dijalankan pada waktu malam, manakala hari persekolahan sepenuhnya untuk belajar. Perlumbaan pula hanya dilakukan pada hujung minggu untuk tidak mengganggu konsentrasi mereka” katanya.
Sementara itu, jelas Wan Muzri yang juga Presiden The M8 Cycling Club itu, juara cilik dunia itu bakal sekali lagi terbang ke Jepun bagi Kejohanan Run Bike Series (RCS) Januari Depan.
“Maleeq akan terbang membawa nama negara bersama membawa nama Malaysia bersama abang dan kakaknya, Mikael dan Mikayla. Mereka juga akan disertai tujuh pelumba lain Fayyadh, Raziq, Izz Fast, Amni, Rafif, Ilyas dan Dayyan.
“Saingan kali ini pastinya sengit tetapi kami yakin dengan persiapan rapi, pelumba Malaysia mampu melakukan yang terbaik,” tambahnya.
Ditanya berhubung perancangan selepas pushbike, Wan Muzri berkata, Maleeq bakal meneruskan cita-citanya untuk menjadi pelumba sukan permotoran Mini GP yang juga merupakan hasil kerjasama M8 Malaysia dan ZK Racing.
“Program ini membuka peluang untuk kanak-kanak berbakat melangkah ke peringkat lebih tinggi. Aktiviti sukan seperti dapat membina keyakinan diri dan bergaul dengan rakan sebaya,” tambahnya.-UTUSAN