PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja di United Kingdom (UK) dengan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Sir Keir Starmer.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar menyampaikan penghargaan atas jemputan ke UK yang menjadi peluang penting untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara yang meliputi pelbagai bidang strategik.
“Kami senada dan sepakat untuk meningkatkan kerjasama strategik yang lebih erat dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga serta kecerdasan buatan (AI). Kami turut membincangkan usaha penyelesaian terhadap isu Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut akan dibawa ke peringkat menteri masing-masing untuk memastikan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun.
Beliau berkata, lawatan ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan diplomatik, tetapi juga membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua negara.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar turut menggunakan peluang ini untuk menyampaikan kesediaan Malaysia menerima lebih ramai pelabur dari UK.
“Memandangkan ini adalah lawatan ke negara Eropah pertama selaku Pengerusi ASEAN, saya menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerima lebih ramai pelabur, sekali gus membentuk sinergi ekonomi baharu,” katanya.-UTUSAN