PETALING JAYA: Hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) , Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum yang juga pemerintah Dubai, berjaya mengeratkan kerjasama dua hala antara negara.
Anwar berkata, hasil pertemuan itu, beliau bertukar pandangan dan sepakat untuk memperbaharui kerjasama dalam beberapa bidang utama seperti makanan, teknologi dan pusat data.
“Sewaktu lawatan kerja, saya bertemu dengan Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum.
“Ruang ini saya gunakan bagi menyatakan penghargaan atas jemputan lawatan kerja ke negara ini selain bertukar pandangan dan bersepakat untuk memperbaharui kerjasama dalam beberapa bidang utama bagi menyokong pembangunan mampan antara dua negara,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, media melaporkan, Anwar yang sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke UAE bermula Ahad, dijadualkan bertemu dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed, yang juga pemerintah Dubai, hari ini.
Pertemuan akan berlangsung di Istana Za’abeel di Dubai, kira-kira 150 km dari sini.
Perbincangan dijangka bertumpu kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala dan meneroka peluang-peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data serta isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama.
Terdahulu Anwar akan memulakan lawatan di hari kedua ini dengan perjumpaan dengan pihak Dana Kekayaan Berdaulat UAE.
Mesyuarat perniagaan pula dimulakan dengan pertemuan Anwar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al-Ramahi, diikuti Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) Sheikh Hamed Zayed Al-Nahyan, dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Khaldoon Khalifa Al-Mubarak.
Lawatan Perdana Menteri itu adalah atas jemputan Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW).-UTUSAN
HABIS
KAPSYEN