KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan membiarkan negara ini menjadi lokasi operasi sindiket pengemis terutama eksploitasi kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jenayah itu bukan sahaja mencemarkan imej negara, malah melibatkan eksploitasi ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat bagi sindiket pengemis. Kementerian akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan langkah pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara efektif.
“Pada masa sama, masyarakat diharap memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti sebegini.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya sindiket seumpamanya tidak berani menjadikan negara kita sebagai pusat operasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sanjungan Ilmu anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kejayaan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengemis yang dipercayai didalangi warga Yaman, minggu lalu.
Kegiatan tersebut dilaporkan mampu menjana keuntungan sehingga RM3,000 sehari dengan mempergunakan kanak-kanak sebagai alat eksploitasi.
Nancy berkata, imej negara perlu menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat ASEAN 2025.
“Sebagai tuan rumah mesyuarat ASEAN, kita perlu menunjukkan bahawa Malaysia merupakan negara yang selamat dan teratur. Imej negara tidak boleh tercemar oleh aktiviti sindiket seperti ini.
“Saya berharap tindakan pantas pihak berkuasa dapat memberikan mesej jelas kepada mana-mana pihak yang cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat eksploitasi manusia,” katanya. – UTUSAN