JOHOR BAHRU: Malaysia bakal menerima impak ekonomi bernilai lebih RM7.38 bilion menerusi pelaksanaan 850 persidangan dan program antarabangsa di seluruh negara bermula tahun lalu sehingga 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dapatan itu turut dijayakan menerusi pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang dijangka merekodkan pendapatan sehingga RM147.1 bilion menerusi ketibaan seramai 35.6 juta pelancong.
Beliau berkata, ASEAN menawarkan pasaran pelancongan dinamik yang menunjukkan pemulihan positif pasca pandemik Covid-19 dengan peningkatan ketibaan pelancong global sebanyak 2 peratus pada tahun 2024 berbanding 2019.
“Rantau Asia Tenggara menyambut lebih daripada 100 juta pelancong pada tahun 2023, jumlah itu merupakan 70 peratus daripada tahap direkodkan sebelum pandemik.
“Menjelang tahun 2024, rantau ini melepasi ketinggian 130 juta pelancong global menandakan pemulihan sepenuhnya. Kejayaan ini mencerminkan ketahanan dan sikap optimis ASEAN dalam memajukan sektor pelancongan rantau ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pembukaan Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Fadillah turut menegaskan kepentingan bagi negara-negara ASEAN tidak hanya menumpukan kepada usaha pemulihan sektor pelancongan tetapi juga aspek peralihan kepada strategi pelancongan yang mampan dan berkualiti tinggi.
“Rantau ini mempunyai potensi besar dalam memimpin usaha hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Ia boleh diintegrasikan dengan pelancongan inovatif berasaskan komuniti, ekopelancongan, dan pelancongan regeneratif bagi memastikan manfaat diterima dikongsi bersama.
“Sehubungan itu, satu Pelan Tindakan Bagi Pembangunan Pelancongan Mampan di ASEAN melibatkan kerajaan serta swasta bagi meningkatkan infrastruktur dan kualiti hidup untuk penduduk dan pelawat,” katanya. – UTUSAN