Malaysia terajui ASEAN-BAC 2025, perkenal 12 inisiatif baharu

Malaysia terajui ASEAN-BAC 2025, perkenal 12 inisiatif baharu

NAZIR Razak (tengah) selepas Mesyuarat Majlis ASEAN-BAC ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ASEAN-BAC ke-25 di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Malaysia kini bersedia untuk mengorak langkah besar sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan memperkenalkan 12 inisiatif baharu menerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

Majlis tersebut turut menyaksikan pengumuman 33 kerjasama strategik dan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi dan kerjasama serantau.

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Nazir Razak berkata, inisiatif baharu ini diyakini mampu mengubah landskap ekonomi ASEAN, yang kini diiktiraf sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) mencecah AS$ 230 bilion pada 2023.

Nazir berkata, beliau turut optimis dengan masa depan ASEAN bahawa kepemimpinan Malaysia membawa tiga kelebihan utama.

“Pertama, ASEAN kini lebih memahami potensi dan kekangannya. Pendekatan kita pragmatik, mengambil kira sejarah, budaya dan konteks politik rantau ini.

“Kedua, generasi pemimpin baharu, seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencetuskan semangat baharu untuk kerjasama serantau dan ketiga, kedudukan berkecuali ASEAN di tengah ketegangan politik global menjadikannya destinasi pelaburan utama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis ASEAN-BAC ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ke-25 di sini semalam.

Dalam pada itu, Nazir berkata, negara-negara ASEAN diharapkan terus bersatu dalam menghadapi cabaran ekonomi serantau susulan hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump, untuk menubuhkan sebuah jabatan baharu yang dipanggil Perkhidmatan Hasil Luar (External Revenue Service).

Beliau berkata, negara-negara ASEAN harus mengambil peluang pada masa ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai hab perdagangan global.

“Dalam situasi pemisahan dan pemecahan ekonomi dunia, ASEAN perlu kekal neutral. Ini adalah peluang bagi ASEAN untuk terus menjadi pusat tarikan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, menurut Nazir, ekonomi ASEAN yang lebih terbuka dan sangat bergantung kepada perdagangan akan terjejas oleh ketidaktentuan dasar tarif baharu AS ini.

“Kami khuatir langkah ini boleh merencatkan aliran perdagangan global dan memberi impak besar terhadap ekonomi negara-negara ASEAN yang sangat terintegrasi dengan ekonomi China,” katanya.

Nazir berkata, kebimbangan ini telah dibincangkan secara meluas dalam kalangan pemimpin perniagaan ASEAN.

Katanya, dalam persekitaran luaran yang tidak menentu adalah lebih penting bagi negara-negara ASEAN untuk bekerjasama, melabur dan mencipta nilai bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya