Malaysia terajui ASEAN-BAC 2025 dengan 12 inisiatif baharu - Utusan Malaysia

Malaysia terajui ASEAN-BAC 2025 dengan 12 inisiatif baharu

NAZIR Razak semasa mempengerusikan sidang akhbar mengenai Mesyuarat Majlis ASEAN-BAC ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ASEAN-BAC ke-25 di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Malaysia kini bersedia untuk mengorak langkah besar sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan memperkenalkan 12 inisiatif baharu menerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia.

Pelancaran visi ini diumumkan dalam sidang akhbar bersempena Mesyuarat Majlis ASEAN-BAC ke-102 di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan pengumuman 33 kerjasama strategik dan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi dan kerjasama serantau.

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Nazir Razak berkata, kepemimpinan Malaysia menawarkan peluang unik untuk merintis kerjasama serantau yang lebih erat.

Katanya, beliau yakin bahawa inisiatif baharu ini mampu mengubah landskap ekonomi ASEAN, yang kini diiktiraf sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) mencecah AS$ 230 bilion pada 2023.

Nazir berkata, beliau turut optimis dengan masa depan ASEAN bahawa kepemimpinan Malaysia membawa tiga kelebihan utama.

“Pertama, ASEAN kini lebih memahami potensi dan kekangannya. Pendekatan kita pragmatik, mengambil kira sejarah, budaya, dan konteks politik rantau ini.

“Kedua, generasi pemimpin baharu, seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencetuskan semangat baharu untuk kerjasama serantau dan ketiga, kedudukan berkecuali ASEAN di tengah ketegangan politik global menjadikannya destinasi pelaburan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Mesyuarat Majlis ASEAN-BAC ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ke-25 di sini.

Sidang akhbar itu turut disertai wakil dari negara anggota ASEAN serta rakan ekonomi utama seperti Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Kanada, Australia, dan New Zealand.

Perbincangan tertumpu kepada usaha kolektif untuk merealisasikan 12 inisiatif tersebut, yang meliputi pelbagai sektor strategik bagi memperkukuh kedudukan ASEAN di peringkat global.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya