PUTRAJAYA: Malaysia menyokong inisiatif Jepun dalam menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut amat bermakna bagi Malaysia khususnya berkaitan dengan pembangunan semula Gaza.
“Dalam isu serantau, kami bersetuju untuk menyokong inisiatif Jepun untuk bersama-sama mempengerusikan mesyuarat menteri pada Julai.
“Ini khususnya berkaitan pembinaan semula Gaza dan Palestin yang sangat bermakna bagi Malaysia dan juga banyak negara lain, termasuk umat Islam di seluruh dunia,” katanya menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di sini hari ini.
Ishiba yang dalam lawatan pertamanya ke Malaysia diberi sambutan rasmi negara awal hari ini.
Sementara itu, Ishiba berkata, Malaysia adalah negara yang memiliki penduduk Islam terbesar dan berperanan sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Beliau malah bersetuju untuk bekerjasama demi keamanan dan kestabilan berkaitan situasi di Timur Tengah khususnya Gaza dengan memanfaatkan pengetahuan Asia Timur untuk mencapai kebebasan ekonomi.
“Isu mendesak seperti Laut China Timur dan Laut China Selatan, Timur Tengah serta situasi di Myanmar turut dibincangkan.
“Kami mengadakan pertukaran pandangan secara terbuka dan bersetuju untuk berkomunikasi dengan lebih rapat,” katanya. – UTUSAN