PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura membuka semula ruang perbincangan bagi menyelesaikan pelbagai isu-isu lama dan tertangguh yang wujud antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, isu-isu berkenaan antara lain termasuk isu bekalan air, persempadanan maritim, dan ruang udara.
Beliau berkata, dengan pembukaan semula perbincangan ini, pasukan teknikal kedua-dua negara akan membincangkan parameter-parameter berkaitan.
“Ini adalah isu yang kompleks. Seperti disebut Lawrence (Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong), isu itu perlu ditangani secara holistik atau menyeluruh.
“Perbincangan itu penting supaya beberapa perkara yang diminta Singapura dan Malaysia dapat diberi pertimbangan penuh,” katanya dalam sidang akhbar bersama Wong di sini, hari ini.
Katanya, penyelesaian akhir hasil perbincangan itu haruslah dalam bentuk situasi menang-menang.
Sementara itu, Wong berkata, isu ruang udara, bekalan air dan persempadanan maritim adalah penting bagi kedua-dua negara.
Menurutnya, kesemua isu itu akan dibincangkan secara holistik dan konstruktif dalam konteks hubungan yang lebih luas antara kedua-dua negara.
“Isu-isu ini adalah kompleks namun, kami (Malaysia dan Singapura) telah melihat sedikit kemajuan, tetapi kami masih memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikannya.
“Kami akan terus berunding dengan niat yang baik dan sebagai jiran yang baik. Saya yakin, dengan bekerjasama, kita dapat mencapai penyelesaian yang kukuh bagi semua isu ini dengan keseimbangan manfaat untuk kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN