PETALING JAYA: Malaysia telah mempersiapkan segala kelengkapan yang diperlukan untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persiapan itu termasuk daripada segi kelengkapan dan infrastruktur antaranya berkaitan kecerdasan buatan, tenaga, tenaga hijau, semikonduktor, perlindungan data dan lain-lain lagi.
“Ini juga disokong melalui hubungan baik dengan negara-negara jiran ASEAN dalam aspek intra-ASEAN, projek kabel bawah laut, persempadanan, pertukaran maklumat.
“Ia dalam membawa rantau ini ke tahap lebih tinggi, setanding Kesatuan Eropah selain arus kebangkitan kumpulan negara Global South melalui anjakan kuasa ekonomi sedia ada dalam membentuk semula masa depan ekonomi dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Special One-on-One Exclusive Dialogue with Forum Leadership’ yang dipengerusikan oleh Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Amanah Prof Klaus Schwab bersempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland hari ini.
Anwar berkata, ruang 30 minit itu digunakan beliau dengan menjelaskan peranan yang boleh dimainkan Malaysia terkait masa depan ekonomi dunia dan ketersediaan negara bagi menyahut arus perubahan serta kecanggihan teknologi ketika ini.
“Saya maklumkan bahawa Malaysia telah mempersiap segala kelengkapan dan infra diperlukan terkait kecerdasan buatan, tenaga, tenaga hijau, semikonduktor, perlindungan data, dan lain-lain lagi untuk perhatian masyarakat dunia,” katanya.-UTUSAN