Malaysia sedia terima 300 program ASEAN menjelang 2025

Malaysia sedia terima 300 program ASEAN menjelang 2025

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 program berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, lebih 180 program daripada jumlah tersebut akan dianjurkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kata beliau, hal tersebut menjadikan Malaysia destinasi utama bagi acara-acara berprofil tinggi ASEAN.

“Sebagai pintu masuk negara dan lokasi utama pelaksanaan program ASEAN, kita perlu bersedia bukan sahaja dari aspek logistik tetapi juga kebersihan, keindahan bandar dan infrastruktur.

“Kawasan pusat bandar termasuk lokasi penginapan dan sidang kemuncak akan diberi perhatian khusus untuk memastikan semua aspek persediaan berada dalam keadaan terbaik menjelang pelaksanaan program tersebut,” katanya dalam Sidang Media selepas Sesi Temu Rapat bersama Warga Emas Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sesi Temu Rapat tersebut diadakan bersama persatuan, wakil masyarakat dan organisasi berkaitan warga emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai platform komunikasi dua hala bersama kerajaan.

Menurut beliau, pelbagai isu asas yang perlu dibincangkan termasuk akses kepada perkhidmatan kesihatan, bantuan kewangan, perumahan selamat dan cadangan penyelesaian praktikal.

“Sesi tersebut turut meningkatkan kerjasama dan kolaborasi antara kerajaan dan warga emas melalui inisiatif seperti program latihan kemahiran, sokongan sosial dan penyediaan sumber maklumat mudah akses.

“Pelbagai agensi kerajaan dan pihak syarikat swasta terlibat dalam temu rapat ini untuk menyokong dalam memastikan warga emas mendapat kebersamaan dan tidak tercicir.

“Kerajaan akan terus tekad dan komited dalam memastikan warga emas di Wilayah Persekutuan mendapat perhatian selari dengan pendekatan whole-of-nation approach atau penglibatan secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, melalui input sesi temu rapat ini, kerajaan dapat merumuskan polisi dasar lebih sesuai serta berupaya memberikan impak positif kepada kumpulan sasar.

Kata beliau, sesi sebegini meningkatkan strategi dan pendekatan di peringkat penggubalan dasar selain menyokong penuh inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang mengangkat elemen nilai Lindung@PUJI.

“Dalam masa terdekat, satu sesi libat urus akan diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan seperti NGI, pakar-pakar, serta NGO bertujuan merangka pelan tindakan lebih menyeluruh dan inklusif.

“Kita sedar menjelang tahun 2030, cabaran ini akan menjadi semakin signifikan walaupun statistik warga emas di Wilayah Persekutuan kini hanya sekitar 11 hingga 12 peratus. Kita tidak akan leka dan akan sentiasa pastikan kita bersedia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya