Malaysia perlu baik dengan semua negara - Anwar - Utusan Malaysia

Malaysia perlu baik dengan semua negara – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) menggaul yee sang pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Malaysia perlu berbaik dengan semua negara tanpa menyebelahi mana-mana kuasa besar baik China atau Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Perdana Menteri, rakyat jangan terperangkap dengan dakwaan kononnya negara akan diserahkan kepada kuasa besar seperti China.

Tegasnya, hubungan baik dengan negara seperti China perlu dimanfaatkan kerana negara itu telah mencapai kemajuan teknologi moden termasuk menghasilkan kecerdasan buatan (AI) berjenama DeepSeek yang mengejutkan pesaing dunia.

“Jangan kita terperangkap dengan pemikiran lama dengan hanya bergantung kepada satu negara. Kita perlu baik dengan semua negara.

“Kalau negara itu ada masalah dengan negara China, itu masalah dia,” katanya semasa berucap dalam majlis perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di sini hari ini.

Dunia kini dalam keadaan ternanti-nanti kesan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden AS yang dilihat kurang senang dengan China.

Anwar berkata, beliau sendiri akan terus mengadakan pertemuan pemimpin termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang akan berkunjung ke Malaysia pada Februari ini.

“Kita perlukan kawan. Tidak boleh bergantung. Dulu kita memihak belah sana belah sini. Kita teruskan dengan AS, kita baiki hubungan dengan Kesatuan Eropah, baiki dengan BRICS dan kita rapat dengan China.

“Ada orang bangkitkan di kampung-kampung kita serah semua kepada negara China. Itu pemikiran yang rosak. Kalau kita banyak dengan AS tiada apa pula, dengan Eropah tiada apa pula.

“Ini mentaliti penjajah. Bagi kita, sesiapa pun termasuk negara China yang datang melabur kita berikan galakan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita,” katanya.

Jelasnya, oleh itu untuk memastikan Malaysia terus membangun dan relevan, rakyat harus memikirkan kepentingan negara secara keseluruhan dan tidak terikut dengan idea pihak-pihak yang mahu menjadi jaguh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya