Malaysia perlu 6,000 pakar terapi autisme

Malaysia perlu 6,000 pakar terapi autisme

TANPA latihan dan sokongan yang tepat, kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme (ASD) dinafikan peluang terbaik untuk berkembang dan mencapai potensi yang penuh. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan 6,000 jurupulih perubatan cara kerja (OT) dan juruterapi percakapan bagi mengimbangi peningkatan jumlah kanak-kanak yang mengalami Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) di negara ini.

Pakar Klinikal Psikologi, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, kekurangan tenaga kerja dalam kedua-dua bidang itu mengakibatkan proses pemulihan kanak-kanak autisme di negara ini terganggu apabila jarak tempoh janji temu rawatannya terlalu lama.

Katanya, masalah ini menyelubungi hampir semua hospital kerajaan di seluruh negara untuk rawatan pemulihan yang sepatutnya dibuat dalam tempoh seminggu, namun jarak janji temu terpaksa menunggu sehingga sehingga enam bulan.

“Sedangkan tempoh janji temu rawatan pemulihan OT dan percakapan yang ideal adalah seminggu sekali, namun ia tidak dapat dilakukan di hospital kerajaan kerana jumlah kes autisme meningkat mendadak dan kita kekurangan tenaga kerja dalam dua bidang tersebut.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, amat sukar untuk memulihkan kanak-kanak ini kerana tempoh usia tujuh tahun pertama amat penting untuk tumbesaran mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Dr. Noor Aishah, setakat ini, hanya dua universiti awam yang menawarkan kursus OT dan juruterapi percakapan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sekali gus menyebabkan negara mengalami kekurangan pakar di kedua-dua bidang untuk mendepani peningkatan kanak-kanak autisme.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan jumlah kanak-kanak yang disahkan mengalami autisme menunjukkan peningkatan amat ketara naik 815 peratus daripada 6,991 kes pada 2013 kepada 63,966 kes setakat September tahun lalu.

Kenaikan itu dilihat selari dengan jumlah kes autisme dunia yang naik 317 peratus iaitu satu kes dalam 10,000 kanak-kanak pada 1970 kepada satu kes dalam 36 kanak-kanak tahun lalu.

Perkara itu menimbulkan persoalan sama ada Malaysia bersedia dengan peningkatan mendadak kes tersebut dari segi tenaga mahir dalam kalangan pakar psikologi kanak-kanak, pakar psikologi pendidikan khas, juruterapi cara kerja, juruterapi percakapan, guru pendidikan khas dan fasiliti pendidikan di semua peringkat.

Dr. Noor Aishah yang juga Pengarah Urusan CPC International itu berkata, keputusan kerajaan membina lebih banyak pusat intervensi autisme seperti Pusat Permata Kurnia dan sekolah khas kanak-kanak autisme adalah usaha baik bagi menangani peningkatan kes ASD di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, kebimbangannya adalah pusat intervensi sebegini memerlukan ramai OT dan juruterapi percakapan sedangkan negara amat kekurangan tenaga kerja dalam bidang tersebut.

“Perkara ini perlu diambil serius oleh kerajaan. Jadi saya mencadangkan supaya universiti awam di Malaysia ini mengkaji semula kursus-kursus ditawarkan mereka kerana kita melahirkan pakar OT dan juruterapi percakapan yang sangat kurang setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah sebenar kes autisme di negara adalah jauh lebih tinggi daripada yang didaftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, banyak faktor yang menyumbang kepada masalah itu antaranya sindrom penafian yang dialami ibu bapa selepas anak-anak disahkan autisme dan kurangnya pengetahuan mengenai autisme. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya