Malaysia-Jepun perkukuh hubungan, bahas isu Laut China Selatan

Malaysia-Jepun perkukuh hubungan, bahas isu Laut China Selatan

Anwar Ibrahim bersalam dengan Shigeru Ishiba selepas sidang akhbar sambutan rasmi Perdana Menteri Jepun ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertemuan dua hala Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba semalam adalah bagi membincangkan usaha meneroka kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menyentuh pelbagai bidang penting melibatkan pembangunan dan keselamatan serantau.

Katanya, pertemuan itu memberi peluang untuk menilai kemajuan kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, pertahanan, keselamatan siber, maritim, pendidikan tinggi, pencegahan bencana dan pembangunan loji pemprosesan unsur nadir bumi (REE).

“Hasil daripada kerjasama ini, Malaysia dan Jepun telah mencapai kejayaan yang ketara, antaranya dengan penubuhan cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia serta jalinan kerjasama antara Petronas dengan Shikoku Electric dan Hiroshima Gas.

“Kerjasama lain termasuk usaha sama dalam tenaga hidrogen yang melibatkan Petronas, Petros, dan beberapa syarikat Jepun, serta projek kabel dasar laut Sarawak dan grid tenaga ASEAN yang turut membabitkan Laos, Thailand dan Singapura,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, kedua-dua pemimpin tersebut turut membincangkan isu serantau yang melibatkan kepentingan bersama termasuk penyelesaian konflik Myanmar mengikut Konsensus Lima Perkara.

Katanya, isu genosid yang berlaku di Gaza juga memerlukan penyelesaian serta bantuan segera.

“Persetujuan Malaysia dan Jepun menjadi Pengerusi Bersama Mesyuarat Peringkat Menteri dalam Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai depan.akan memberi tumpuan kepada pembangunan semula Gaza sebagai inisiatif Jepun.

“Malaysia dan Jepun juga sepakat untuk memperkukuh kerjasama melalui ASEAN serta Malaysia akan menyokong inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC).

“Perbincangan bersama rakan-rakan ASEAN akan dilaksanakan mengenai penganjuran persidangan ini di Kuala Lumpur ketika Sidang Kemuncak ASEAN nanti,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat dua hala itu turut membincangkan isu Laut China Selatan untuk mengekalkan suasana aman di kawasan tersebut dan menyelesaikan pertikaian secara diplomasi berdasarkan perundangan antarabangsa.

Selesai mesyuarat, kedua-dua pemimpin itu turut mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia dan Jepun untuk memaklumkan mengenai kesepakatan dan kerjasama yang dicapai.

“Kedua-dua negara berikrar untuk terus memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama.

“Saya berharap hubungan Malaysia dan Jepun akan terus diperkukuh demi kepentingan bersama dan pembangunan serantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya