PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun dijangka memuktamadkan kerjasama dalam bidang tenaga baharu melibatkan industri hidrogen pada Mei ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif terbaharu Kerajaan Sarawak membabitkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dengan kerjasama Petronas itu turut mendapat sokongan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba.
“Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang juga hadir hari ini memberikan jaminan tersebut. Dengan sokongan Perdana Menteri Jepun, kerjasama dalam teknologi baharu ini dan hidrogen diharapkan akan berjaya.
“Kami berharap untuk memudahkan pelaksanaan ini secepat mungkin agar dapat memenuhi tarikh akhir, mungkin pada bulan Mei ini apabila kami bertemu sama ada di Tokyo atau Kuala Lumpur,” katanya menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di sini hari ini.
Ishiba yang dalam lawatan pertamanya ke Malaysia diberi sambutan rasmi negara awal hari ini.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober 2024.
Semalam, media melaporkan usaha menjadikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau ini antara agenda utama perbincangan Anwar dan Ishiba.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, menerusi pertemuan dua hala itu, beliau turut menyentuh tentang inisiatif pembentukan grid kuasa ASEAN yang memerlukan penyertaan Jepun, selain negara-negara lain yang terlibat.
“Saya menyebut mengenai grid kuasa ASEAN dari Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, serta inisiatif kabel bawah laut Sarawak ke Semenanjung dan Singapura.
“Saya juga menyentuh mengenai unsur nadir bumi, di mana loji pemprosesan elemen nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) memerlukan penglibatan dari Jepun,” katanya.
Menurut Anwar, kedua-dua mereka turut membincangkan keperluan untuk mengekalkan keamanan dan menyokong kod tingkah laku di Laut China Selatan, kerjasama Indo-Pasifik dan penyelesaian yang baik mengikut Five Point Consensus di Myanmar. – UTUSAN