PETALING JAYA: Fokus utama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) adalah untuk merangka pembangunan industri halal secara holistik bagi jangka masa panjang dan mengkoordinasikan ekosistem halal secara lebih efektif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat tersebut dilaksanakan bagi penyelarasan agenda halal negara.
Beliau berkata, ia merupakan langkah susulan kepada dapatan daripada Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 yang mengenal pasti beberapa perubahan utama untuk memperkasakan industri halal negara.
Katanya, fokus utama mesyuarat ini adalah untuk merangka pembangunan industri halal secara holistik bagi jangka masa panjang serta mengkoordinasikan ekosistem halal dengan lebih efektif.
“Mesyuarat turut bersetuju untuk mewujudkan makmal kajian bagi melaksanakan game changer yang dipersetujui dalam Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024.
“Kita perlu menggembleng usaha untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global. Agenda halal ini bukan sahaja agenda nasional, tetapi tanggungjawab demi agama dan kesejahteraan ummah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan (KKM) serta beberapa agensi lain bagi membincangkan usaha membangunkan Taman Industri Halal Perak di bawah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Katanya, pembangunan strategik ini akan dilaksanakan di kawasan seluas 63.34 hektar yang terletak dalam jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Lekir.
“Kawasan ini dirancang untuk menjadi sebuah hab halal lengkap dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat penyelidikan dan pembangunan daging halal, pusat pemprosesan ayam serta kilang pemprosesan makanan haiwan,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha untuk mewujudkan kilang pengeluaran gelatin halal.
“Langkah ini penting untuk menyokong pelbagai sektor seperti industri farmaseutikal bagi memastikan produk perubatan bebas daripada keraguan halal, industri makanan untuk memenuhi keperluan piawaian halal global dan industri kosmetik.
“Usaha membangunkan Taman Industri Halal Perak ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi halal di negeri ini, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN