PETALING JAYA: Malaysia kini berdepan masalah deindustrialisasi dengan menyaksikan penurunan sumbangan pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pekerjaan.
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata, penurunan itu dalam masa yang sama turut ditambah dengan kegagalan beralih ke industri bernilai tambah tinggi dan masalah persaingan dari negara berkos rendah.
Katanya, ia sekaligus mencetuskan kebimbangan disebabkan sektor pembuatan mendorong inovasi, kemajuan teknologi dan penciptaan berkemahiran tinggi.
“Tanpa industri yang kukuh, Malaysia sukar membangunkan sektor -sektor baharu seperti teknologi hijau yang dapat dilihat dalam kejayaan China menerusi industri solar serta kenderaan elektrik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KRI berkata, Malaysia turut kekurangan bakat berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi.
Menurutnya, ramai graduan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan disebabkan kekurangan permintaan untuk pekerja berkemahiran daripada sektor relevan serta penurunan pelaburan dalam kajian dan penyelidikan.
“Ini amat ketara dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dimana penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi tidak berkembang walaupun ada dakwaan mengenai kekurangan bakat.
“Isu asasnya adalah masalah koordinasi walaupun bilangan graduan semakin meningkat, industri mungkin sukar untuk beralih ke fungsi bernilai tambah yang lebih tinggi tanpa sokongan kerajaan yang signifikan,” jelasnya.
Tambah KRI, ruang dasar perindustrian Malaysia turut dibatasi peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perjanjian perdagangan bebas yang mengehadkan dasar seperti tarif dan insentif eksport.
“Perjanjian ini juga mengenakan peraturan yang lebih ketat berkaitan harta intelek dan pelaburan.
“Di samping itu, Malaysia menghadapi had fiskal akibat tumpuan kerajaan untuk mengurangkan defisit, penyusutan lebihan akaun semasa, dan undang-undang baharu yang mengehadkan defisit fiskal serta hutang kerajaan. Faktor-faktor ini mengurangkan keupayaan kerajaan untuk menggunakan dasar perindustrian atau peluasan fiskal bagi menyokong industri domestik,” jelasnya. – UTUSAN