Malaysia akan hantar pulang rakyat Palestin - Ahmad Zahid

Malaysia akan hantar pulang rakyat Palestin – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Penghantaran pulang warga Palestin yang sebelum ini dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan akan dilakukan segera susulan gencatan senjata bagi Semenanjung Gaza yang berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran pulang itu akan diatur oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan dalam tempoh gencatan senjata di Semenanjung Gaza berlangsung.

“Kita berharap dalam tempoh gencatan senjata ini (42 hari), penghantaran pulang pesakit-pesakit yang dibawa dari Gaza yang berada di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) dapat dilakukan. Ia sedang diatur (oleh dua kementerian terbabit) untuk dihantar pulang.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu dan saya sendiri yang membawa perkara ini, dan kita tidak mahu adanya aksi-aksi demonstrasi di kem berkenaan,” katanya ditemui pemberita ketika hadir pada majlis penutup permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2025 di sini, hari ini.

Kementerian Luar Qatar sebelum ini mengumumkan bahawa perjanjian gencatan senjata bagi Semenanjung Gaza berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu, pada 4 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa Malaysia merancang untuk menerima orang awam Palestin yang cedera bagi membolehkan mereka menerima rawatan di Malaysia.

Sehubungan itu iaitu pada 16 Ogos, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara Subang TUDM. Namun, berlaku beberapa insiden membabitkan rakyat negara itu yang didakwa cuba menimbulkan kekecohan selepas mereka dibawa ke Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan juga telah menerima permohonan maaf daripada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang menyesali insiden melibatkan rakyat Palestin di negara ini.

“Kita tahu mungkin mereka berada dalam keadaan tekanan. Mereka telah lama berada di Malaysia dan telah menjalani rawatan dan mereka mohon untuk pulang.

“Jadi, dalam keadaan gencatan senjata ini, adalah masa yang sesuai untuk penghantaran pulang mereka dilakukan dengan segera oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

“Kerajaan Mesir akan turut membantu menguruskan proses ini, dengan perincian lanjut diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan,” katanya yang memberitahu, kesemua warga Palestin itu juga berada dalam keadaan sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya