DALAM sejarah Malaysia, lagu Pulangkan nyanyian Misha Omar adalah lagu hantu paling ikonik untuk sebuah filem fenomena, Pontianak Harum Sundal Malam.
Penyanyi dan komposer, Zyn baru pertama kali menghasilkan lagu untuk filem seram. Tidak meletakkan harapan tinggi lagu ciptaannya, Di Kala Malam bakal terbang sama tinggi dengan karya Ajai itu, namun Zyn tetap berpuas hati.
Ketika menerima tawaran menghasilkan runut bunyi untuk filem Dajjal arahan Pierre Andre, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 25, teruja menampilkan lagu seram dengan gaya urban.
Muzik Di Kala Malam sudah tersedia dalam simpanan sejak setahun lalu, cuma penyanyi itu memerlukan olahan lirik yang boleh membangkitkan suasana seram.
Ketika proses menghasilkan lirik itulah, penyanyi lagu Sakit tersebut mengalami peristiwa seram apabila seperti diintai oleh ‘makhluk lain’ di rumahnya.
“Saya memang tinggal sendirian dan jenis tidak suka kalau pintu buka separuh. Saya jenis suka biarkan pintu terbuka lebar atau terus tutup rapat.
“Waktu merakam lagu ini, saya terlupa dan biarkan pintu itu separuh terbuka. Sebelum menulis lirik, ekor mata saya seperti melihat ada yang mengintai saya dari celahan pintu itu.
“Kerana pengalaman itu, saya abadikan di dalam lagu dengan lirik ‘bila dekat ada rasa yang mengintai’. Saya yakin di luar sana mesti ada juga yang pernah hadapi situasi seolah-olah ada ‘benda’ yang mengintai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Di Kala Malam merupakan salah satu daripada 10 lagu yang bakal termuat dalam album terbaharu yang bakal diterbitkan tahun ini.
Pemenang Komposer Muda Berpotensi, Badan Perlindungan Hak Cipta (MACP) itu menuliskan sembilan lagu sendirian dengan satu lagu kolaborasi bersama syarikat rakaman, Faithful Music.
“Lagu Di Kala Malam, saya harap orang dengar kerana ia sedap. Tapi kalau ada yang dengar kerana ia lagu OST, ia satu bonus.
“Ini juga akan termuat dalam album saya yang mungkin akan dilancarkan selepas Raya. Kita bagi siapkan projek lebaran kemudian fokus lancarkan album,” katanya yang masih merahsiakan judul album keduanya selepas INI AKU yang terbit pada 2023.
Tidak peduli suam-suam asalkan kerja jalan
Memasuki tahun kesembilan dalam industri hiburan Malaysia, Zyn berharap dirinya semakin matang dalam menilai kehidupan. Dia tidak menafikan ada yang menganggap dirinya sudah suam, namun penyanyi Sendiri itu tidak tersinggung kerana gembira dengan jalan yang dipilihnya.
“Saya sedar posisi saya. Keberadaan saya mungkin orang tidak berapa perasan dan anggap suam-suam. Tapi saya selesa hidup dengan cara sendiri.
“Saya tidak perlu terlalu banyak perhatian, tapi ada sahaja lagu. Ada kebebasan dan bekerja pada masa yang sama.
“Ada orang kata jadi artis ini pasti terkait dengan kontroversi. Tapi sebenarnya kalau pandai bawa diri okay sahaja,” tambahnya. -UTUSAN