Majlis tunang tetap berlangsung, rombongan lelaki redah banjir

Majlis tunang tetap berlangsung, rombongan lelaki redah banjir

ROMBONGAN pertunangan pIhak lelaki dari Batu Pahat meredah banjir menuju ke rumah keluarga Nursyafika Fadzil di Lorong Haji Zainal, Kampung Jasa Sepakat, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Satu majlis pertunangan di sini tetap berlangsung lancar walaupun rombongan lelaki terpaksa meredah banjir setinggi paras lutut menuju rumah pihak perempuan.

Pada awalnya, keluarga perempuan agak panik dan serba salah apabila diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan air semakin naik di Lorong Haji Zainal, Kampung Jasa Sepakat, semasa ketibaan rombongan lelaki, Sabtu lalu.

Menurut Nursyafika Fadzil, 25, ketika rombongan tunangnya tiba dari Batu Pahat pada pukul 3 petang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) meminta keluarganya segera berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunian.

Ibunya, Azlina Samsudin, 58, berasa bersalah hendak mengikuti arahan daripada pihak JPKK, namun keadaan air semakin tinggi sehingga paras lutut, tetapi masih belum memasuki rumah.

Memandangkan rombongan pihak lelaki telah tiba, emaknya meminta urusan pertunangan diselesaikan dahulu sebelum berpindah ke PPS seperti yang diarahkan pihak berkuasa.

“Memandangkan ayah telah meninggal dunia lapan tahun lalu, abang ipar, Mohd. Fadlee Md. Said menjadi wakil keluarga bagi urusan pertunangan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPS SK Seri Bunian, di sini.

Tunangnya, Mohamad Azamudin Ismail, 25, yang bertugas sebagai anggota Bomba dan Penyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Selangor turut hadir pada majlis tersebut.

“Alhamdulillah, majlis pertunangan saya dapat diselesaikan dalam tempoh sejam dalam keadaan masih hujan. Selepas semuanya selesai, kami sekeluarga berpindah ke PPS yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah pada pukul 7.30 malam,” katanya.

Sementara itu Azlina berkata, selain majlis pertunangan anaknya dalam keadaan banjir, dia turut menyambut cucu lelaki yang lahir pada malam Sabtu lalu, namun cucunya tidak tinggal di PPS tersebut.

“Memang kelam-kabut pada hari tersebut, namun Alhamdulillah semuanya dapat berjalan lancar walaupun dalam keadaan tidak selesa bagi tetamu yang hadir disebabkan banjir,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya