KAJANG: Dadah ‘magic mushroom’ atau magik cendawan disahkan sebagai ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair bagi digunakan dalam rokok elektronik atau vape.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya mendapati bahan yang dikaitkan dengan pembuatan magic mushroom melibatkan cecair yang diproses daripada ganja dan ia banyak disalahguna melalui vape.
Beliau berkata, ini ekoran 50 kajian kes dijalankan pihaknya melibatkan kumpulan penagih yang mendakwa menggunakan ‘magic mushroom’ pada tahun lalu.
“Daripada data yang kita dapat dan hasil ujian yang diperoleh daripada Jabatan Kimia, ia sebenarnya bukan magic mushroom sebaliknya adalah ganja sintetik.
“Ia merupakan ganja sintetik yang dimasukkan dalam cecair dan digabungkan bagi digunakan menerusi vape.
“Magic mushroom di luar sana adalah satu terminologi yang dipakai secara meluas, tetapi apa yang kita peroleh daripada ujian dijalankan adalah dadah sintetik sebenarnya,” katanya dalam sidang akhbar dalam majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan bulanan AADK 2025 di Kajang di sini hari ini.
Ruslin berkata, ancaman dadah sintetik semakin meningkat pada masa ini dan pelbagai dadah jenis baharu dihasilkan.
Kata beliau, dadah sintetik baharu semakin popular dan digemari anak muda terutama digunakan semasa berparti.
Bagaimanapun, katanya, pindaan beberapa akta berkaitan dadah dapat memberi ruang kepada AADK menangani isu penagihan dadah terutama kuasa Menteri Dalam Negeri sendiri untuk menyenaraikan bahan-bahan dadah.
Dalam masa yang sama, katanya, proses rawatan di peringkat AADK masih boleh dipeluaskan lagi.
“Kalau sebelum ini kita tengok macam penagihan gam dan ketum, kita tidak boleh buat pemulihan.
“Tetapi di bawah pindaan akta dan dikuatkuasakan nanti, mereka yang menagih ketum juga boleh ditempatkan di pusat pemulihan,” ujarnya. – UTUSAN