TOKYO: Pasukan M8 Malaysia mencatat prestasi membanggakan di Kejuaraan Run Bike Series (RCS) Jepun 2025, dengan sembilan pelumba berjaya mara peringkat akhir sekali gus menunjukkan perkembangan positif berbanding penyertaan tahun sebelumnya.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, pencapaian pasukan M8 Malaysia kali ini membuktikan bahawa jurang antara pelumba tempatan dan luar negara semakin mengecil.
“Alhamdulillah, ini adalah pencapaian terbaik. Jika pada tahun 2023 di Jepun, hanya seorang pelumba Malaysia berjaya ke akhir, tahun ini kami berjaya melayakkan sembilan pelumba.
“Ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan membanggakan,” katanya sebagai mengulas kejayaan pasukan Malaysia di Kejuaraan Run Bike Series (RCS) Jepun 2025 yang berlangsung di Tokyo pada 17, 18 dan 19 Januari 2025.
Dalam perlumbaan kategori lima tahun lelaki, jaguh cilik, Maleeq Dragster sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas dunia apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.
“Walaupun sasaran utama pasukan adalah untuk melihat Maleeq menjuarai kejohanan ini, permulaan perlumbaan yang mencabar menyaksikan dia terhimpit menyebabkan dia sukar untuk laju ke hadapan.
“Itulah adat perlumbaan yang sukar dijangka. Namun, kami tetap berpuas hati kerana Maleeq masih berjaya mengekalkan podium,” katanya.
Kejuaraan tahun ini dimenangi oleh Tiangua dari China, diikuti Hong Yi dari Taiwan di tempat kedua dan Ono Sota dari Jepun di tempat ketiga.
Wan Muzri menambah, kejayaan ini adalah hasil corak latihan yang semakin efektif dan komprehensif demi memastikan pelumba cilik negara mampu memberi saingan kepada jaguh antarabangsa.
“Terima kasih kepada jurulatih pasukan M8 Team, Coach Omar, Muhaimin, dan Khai atas usaha keras mereka dalam membentuk pelumba ke tahap terbaik.
“Sebagai perancangan untuk tahun ini, pasukan M8 Malaysia akan membawa jurulatih dari Jepun dan China ke Malaysia bagi memberikan latihan intensif kepada pelumba tempatan.
“Selain itu, juara dunia Fuki dari Omalleyz x M8 Japan juga akan diterbangkan ke Malaysia bagi memberi tunjuk ajar kepada pelumba-pelumba muda pasukan ini.
“Dengan persiapan dan latihan yang lebih mantap, kami yakin dapat membawa kejuaraan dunia kembali ke Malaysia pada tahun 2026, Insya-Allah,” tambahnya.
Selain Maleeq, abangnya Mikael turut mencatat keputusan membanggakan dalam kategori tujuh tahun lelaki apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai 15 pelumba terbaik dunia, dengan kedudukan ke-14.
Dalam kategori terbuka perempuan, pelumba cilik, Mikayla cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua, membuktikan bahawa pelumba cilik wanita tempatan juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Bukan itu sahaja, beberapa pelumba lain dari pasukan M8 Malaysia turut menunjukkan prestasi yang baik di kejohanan ini. Raziq berjaya menduduki tempat kelapan dalam kategori tiga tahun, manakala Izz Fast berada di kedudukan ke-11 dalam kategori enam tahun lelaki.
Dalam kategori lima tahun perempuan, Amni Lateefa mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-15, manakala Hoorbint, yang pada mulanya menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam kategori yang sama, terpaksa berdepan dengan pembatalan keputusan akibat masalah teknikal pada helmetnya.
Bagi kategori enam tahun lelaki, Dayyan Adam berjaya memperoleh tempat keenam, manakala Ilyas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan bagi kategori dua tahun. Rafif pula berada di kedudukan kelima dalam Challenge Cup – Final A.
Dalam kategori tiga tahun, Ai The Destroyer berjaya mara ke peringkat separuh akhir Final B, sementara pelumba dari M8 Indonesia, Kenzie, berjaya menduduki tempat keenam dalam kategori yang sama.
Seorang lagi pelumba dari M8 Indonesia, Neng Rara, mencatat keputusan cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kategori enam tahun perempuan.
Bagi kategori lapan tahun, Fayyadh berjaya memperoleh kedudukan kelima, menjadikannya antara pelumba terbaik dalam kumpulan usianya.-UTUSAN