PETALING JAYA: Legenda muzik, Datuk M.Nasir, menyanyikan semula lagu Melayu pertama yang direkodkan pada piring hitam sekitar 1903 bertajuk Nuri Terbang Malam.
Lagu Nuri Terbang Malam dengan gabungan muzik tradisional India dan Timur Tengah ini asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang menceritakan kisah cinta yang diibaratkan seperti burung Nuri.
Menerusi syarikat rakaman Luncai Emas, Nasir berharap khazanah muzik ini dapat diperkenalkan kepada generasi seterusnya.
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya.
“Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Malah, rakaman semula lagu Nuri Terbang Malam turut disertai video muzik arahan Sha Bromo dirakamkan dengan konsep teater bangsawan pada tahun 1950-an dengan kerjasama pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Dalam perkembangan lain, pemegang Ijazah Kehormat Doktor Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga bekerjasama dengan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA) untuk projek ‘100 Lagu 100 Tahun’ yang menghimpunkan 100 lagu popular Melayu bermula dari abad ke-20 dalam bentuk audio dan buku.
Buku tersebut bakal memuatkan informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, sekali gus menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini dan akan datang.
Buku ‘100 lagu 100 tahun’ bakal diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) Press manakala audio ‘100 lagu 100 tahun’ hasil penerbitan Azmeer akan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd sepanjang tahun 2025. -UTUSAN