Lunch Date satukan Imran Ajmain bersama peminat - Utusan Malaysia

Lunch Date satukan Imran Ajmain bersama peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi penggemar makanan atau food hunters semestinya memerlukan usaha yang banyak daripada segi tenaga, masa dan belanja. Mana tidaknya, sesetengah orang sanggup berhabis wang ringgit untuk melancong ke sesebuah negara demi menikmati makanan tempatannya.

Begitu juga dengan pemilik nama lengkap Ahmad Imranullah Ahmad Husaini Ajmain yang suka menghabiskan masa lapangnya dengan meneroka tempat-tempat makan yang ada di Malaysia dan Singapura.

“Saya gemar mencari tempat makan baharu atau restoran yang menjual makanan yang digemari. Saya dari Singapura, jadi saya suka makan makanan dari Selatan terutamanya Johor dan Singapura.

“Saya juga terbuka untuk apa sahaja makanan lebih-lebih lagi selera Malaysia. Kebanyakan tempat-tempat ini saya cari menerusi TikTok dan kunjungi restoran itu sekiranya saya ada waktu lapang,” katanya kepada Pancaindera.

Menurut Imran, meskipun aktiviti kegemarannya itu mendedahkan kepada pelbagai makanan, dia tetap mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemaka­nannya demi menge­kalkan kesihatan tubuh badan.

“Saya sejenis yang menjaga pemakanan. Saya tidak suka uar-uarkan makanan yang kurang sihat. Contohnya, saya selalu minum Teh O ais kosong dan air kosong.

“Apabila fokus pada makanan, semuanya harus makanan yang tiada pengawet atau diproses. Kalau makanan kampung pula, kita kena jaga porsi makanan kita secara tidak langsung kita boleh menjaga pemakanan yang seimbang setiap hari,” jelasnya.

Lebih menarik lagi, penyanyi kelahiran Singapura itu turut tampil dengan idea untuk menganjurkan program yang dikenali sebagai ‘Lunch Date’ bersama peminatnya demi berkongsi cita rasanya dengan mereka.

“Saya selalu membuat video makan secara santai. Saya tidak membuat review untuk makanan viral, saya didekati oleh peniaga yang meminta saya ke kedai mereka mahu bayar saya untuk membuat ulasan makanan. Tetapi saya tidak suka konsep itu.

“Saya bayar makanan sendiri dan jika sedap saya akan adakan program di restoran tersebut. Sepanjang tahun lalu, saya sudah beberapa kali jayakan program tersebut. Secara rasmi saya sudah buat dua kali,” jelasnya.

Bagaimanapun, Imran mengakui dirinya lebih gemar memperkenalkan restoran yang menyediakan hidangan yang kaya dengan warisan kepada umum berbanding juadah viral yang sememangnya hangat menjadi buruan orang ramai.

“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang perniagaan makanan. Selepas nama dan lagu kembali naik di TikTok, ramai penganjur yang tertarik sekali gus membuka rezeki saya untuk kembali menyanyi semula sepenuh masa.

“Saya juga dikira aktivis makanan selatan. Saya berketurunan Jawa, jadi itulah makanan yang dekat di hati saya. Dari situ saya rasa ada pentingnya kita elakkan makan makanan viral.

“Pada saya perkara itu biasa sebab boleh didapati di mana-mana. Saya lebih cenderung promosikan makanan berwarisan, ada sejarahnya dan saya amat gemar buat program yang menceritakan tentang makanan,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Seribu Tahun itu, program yang dianjurkan tersebut membuatkan dirinya lebih dekat dengan peminatnya selepas memperkenalkan kepada mereka tempat dan restoran yang menjual makanan kegemarannya.

“Saya sudah terbiasa buat ‘fans gathering’. Jadi, ‘Lunch Date’ ini adalah cara paling mudah untuk saya berkumpul dan bertemu bersama peminat. Ini satu kebaikan bagi saya sebab saya boleh lepak secara santai dengan mereka berbanding jumpa di konsert,” katanya.

Terharu dengan sambutan daripada peminat dan peniaga, Imran berhasrat untuk terus melakukan program makan santai tersebut bagi jangka masa panjang selain ingin membantu peniaga dalam bidang makanan dan minuman.

“Insya-Allah, saya akan buat lebih lama. Dengan sambutan yang saya terima daripada dua acara rasmi yang saya buat sebelum ini, saya dapat perhatian daripada peniaga dalam bidang ini lebih-lebih lagi luar dari daerah Kuala Lumpur dan Selangor.

“Bagi saya, ini satu aktiviti sangat mudah untuk dianjurkan. Peniaga boleh bertanya kepada artis kegemaran mereka supaya peminat boleh berasa dekat dengan artis kesayangan mereka.

“Situasi ini juga win-win, peniaga dapat untung, penyanyi dan peminat dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Insya-Allah, selepas ini saya akan anjurkan program yang sama di Singapura dan akan buat ‘Sahur Date’ pada bulan Ramadan di Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya